Skip to main content
Teh Tarik Podcast

Teh Tarik Podcast

By Kawah Buku

This is a series of podcasts brought by Kawah Buku, an independent bookstore based at Bandar Baru Bangi, Malaysia. Borrowing the symbol and meaning represented by teh tarik, we would like to invite the public to listen to our special program of Teh Tarik Podcast which will feature an informal style of discussion, interview and chit-chatting on various topics and current issues as well as selected book reviews with our invited guest.
Available on
Amazon Music Logo
Apple Podcasts Logo
Castbox Logo
Overcast Logo
Pocket Casts Logo
RadioPublic Logo
Spotify Logo
Currently playing episode

#MenganyamNusa: Dari Dilema Melayu ke Bangsa Malaysia | Kawah Buku x Institut Nyala

Teh Tarik PodcastSep 30, 2021

00:00
01:07:20
Kelas 2 - Agama: Orientasi dan Faham Tradisi | Sekolah Cita Mandiri

Kelas 2 - Agama: Orientasi dan Faham Tradisi | Sekolah Cita Mandiri

Memahami orientasi agama yang mewarnai kehidupan keberagamaan kita mengundang kemampuan melihat dinamika sejarah, politik, ekonomi dan budaya yang melatari kefahaman dan kecenderungan tertentu. Menilai kritis orientasi yang mundur, sehingga menggagalkan kefahaman kemanusiaan yang universal dan kenyataan partikular. Maka mentafsir agama, dan membaca dunia mengarah agar kita memastikan ketumbuhan agama dalam kehidupan ini berbuah dengan hidup dan menghidupi.

Apr 25, 202401:58:02
Syarahan Guru Bangsa: Apa dan Kenapa?

Syarahan Guru Bangsa: Apa dan Kenapa?

Masyarakat luar dilihatnya sering memugar idea-idea guru bangsa mereka. Kalau di India, Romila Thapar terus dibincangkan. Di Iran, Ali Shariati juga sama, berterusan dibincangkan. Kenzaburō Ōe di Jepun berterusan diangkat. Dan Indonesia juga sama. Maka, Siri Syarahan Guru Bangsa membawa semangat yang sama. Ikuti temu bual Bersama Faisal Tehrani mengenai hala tuju dan tujuan utama penganjuran kuliah kolektif ini.

Nov 01, 202337:16
Israel-Palestine, Bah. 3: Kegagalan Dunia Arab

Israel-Palestine, Bah. 3: Kegagalan Dunia Arab

Dalam Siri Israel-Palestin (Bahagian II), kita telah mengungkapkan bagaimana idea Zionism digerakkan melalui kerja-buat yang tersusun menerusi strategi dalaman dan strategi luaran yang melibatkan penggunaan jaringan Zionist dengan sumber kuasa Imperialis pada waktu itu iaitu British. Dari dukungan kuasa imperialis British yang diperolehi menerusi pelbagai cara serta kelicikan dan kecekapan membaca politik semasa zaman itu dan kemunculan momen-momen sejarah yang dimanfaatkan oleh Zionist dengan strategik, negara penjajah Israel akhirnya berjaya ditubuhkan di tanah air Palestine pada tahun 1948. Bermula dari Nakba pertama pada 15 Mei 1948, malapetaka yang melanda bangsa Arab Palestine tak kunjung padam. Keempat-empat perang yang dilalui oleh mereka bermula dengan perang Arab-Israel 1947-1949, Perang Suez 1956, Perang Enam Hari 1967 dan akhirnya Perang Yom Kippur 1973 kesemuanya berakhir bukan saja dengan kekalahan tetapi juga wilayah tanah air mereka semakin mengecil. Jutaan warga Arab Palestin, Muslim dan Kristian hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di serata dunia. Malapetaka atau Nakba yang dialami oleh bangsa Arab Palestin ini tidak lari daripada kelemahan dan kegagalan negara-negara Arab sendiri yang sepatutnya menjadi benteng pelindung tapi akhirnya gagal untuk mempertahankan tanah air Palestin. Apa punca dan sebab-musabab kegagalan dunia Arab? Bahagian III akan cuba meracik dari sudut sejarah, sosiologi dan politik dunia Arab dalam rangka untuk kita memahami kegagalan mereka dan pada masa yang sama cuba untuk merembah jalan yang lebih cerah buat masa depan bangsa Arab Palestin.

Rakaman ini dibuat pada 21 Jun 2021, sewaktu kemuncaknya pergelutan di Palestine pada tahun tersebut.
Oct 09, 202302:07:29
Israel-Palestine, Bah. 2: Menjayakan Cita-cita Zionisme

Israel-Palestine, Bah. 2: Menjayakan Cita-cita Zionisme

Dalam Bahagian I, yang meracik "Permasalahan Nasionalisme Irredentis", suatu pendekatan teoritis dan konsepsual dikutip melalui analisis sosiologi-sejarah telah dibincangkan buat memahami kelahiran sebuah idea yang menjadi dasar, asas dan sumber kekuatan kepada penjajahan Israel ke atas tanah air Palestin. Idea tanpa gerakan tidak akan menjadi kenyataan. Gerakan tanpa idea hanya akan membawa kepada kebuntuan. Israel adalah sebuah projek negara-bangsa moden yang "berjaya". Dari tiada menjadi ada. Dan daripada ada menjadi semakin besar, menguat dan mengukuh. Menjayakan cita-cita Zionism bukan hanya berlegar seputar idea semata-mata tetapi juga digerakkan dari sebuah gerakan yang tersusun. Zionism adalah sebuah gerakan moden yang bersumberkan unsur-unsur masa silam, dan diolah serta disusun semula menggunakan mekanisme aparatus masa kini bagi merealisasikan cita-cita membina negara di wilayah yang dianggap mereka sebagai "historical homeland". Perbincangan pada episod kedua ini akan menumpukan kepada Zionisme sebagai sebuah gerakan politik, budaya, ekonomi dan ketenteraan yang berjaya bukan hanya kerana kekuatan ideanya yang menangkap sentimen masyarakat Yahudi terbanyak tetapi juga kerana tenaga-tenaga sosial yang bergerak telah turut berjaya dimanfaatkan dengan strategik dan berkesan oleh pemikir, aktivis, politikus dan kepimpinannya. Proses sejarah yang dilalui oleh gerakan Zionisme sehingga melahirkan negara Israel adalah suatu usaha berterusan yang bersandarkan konsep "menyemai benih dari masa silam, menyiram pokok pada masa kini, dan menuai buah untuk masa depan".


Rakaman ini dibuat pada 5 Jun 2021, sewaktu memuncaknya pergelutan Israel-Palentine pada tahun tersebut.

Oct 09, 202302:02:50
Israel-Palestine, Bah. 1: Permasalahan Nasionalisme Iredentis

Israel-Palestine, Bah. 1: Permasalahan Nasionalisme Iredentis

Israel-Palestin adalah sebuah tragedi kemanusiaan yang tak terselesai sehingga ke hari ini. Israel sebagai sebuah entiti politik menjadi "negara" pada tahun 1948 dalam suatu proses sejarah yang panjang, berliku dan penuh darah. Korban kepada kelahiran Israel adalah Palestin. Diberikan hanya sekadar status "negara pemerhati bukan anggota" oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 2012, perjuangan rakyat Palestin untuk merebut kembali tanah air mereka berterusan. Meneropong dari kacamata teori nasionalisme sebagai sebuah idea yang mengutip sumber-sumber sejarah dan budaya terdalam di masa silam serta gerakan politik yang mencitakan sebuah wilayah tanah air untuk bangsanya sendiri, Israel dari tiada menjadi ada dan semakin membesar. Manakala Palestin dari ada menjadi semakin mengecil. Perbincangan yang meliputi 3 episod ini akan cuba untuk meracik persoalan Israel-Palestin dengan lebih halus menggunakan kaedah "longue duree" dan pendekatan sosiologi-sejarah untuk memahami khususnya bagaimana "negara" Israel terbentuk dan bagaimana pula Palestin tersudut serta kegagalan dunia Arab khususnya dan masyarakat dunia amnya untuk menyelesaikan permasalahan yang telah menjadi semakin rumit ini.


Rakaman ini dibuat, pada 29 Mei 2021, sewaktu kemuncaknya pertembungan Israel-Palestine pada tahun tersebut.

Oct 09, 202301:38:18
25 Tahun Reformasi; Titik Tengah yang Menemui Hujungnya?

25 Tahun Reformasi; Titik Tengah yang Menemui Hujungnya?

Gerakan Reformasi selalu terlihat sebagai sebuah gerakan yang beridentitikan kepada sosok Anwar Ibrahim. Namun ia sewajarnya tidak berhenti di situ sahaja. Gerakan Reformasi adalah sebuah titik penting perubahan dalam lanskap sosio-politik negara ini. Gerakan Reformasi bukan hanya sebuah gerakan politik namun telah menjadi pemangkin kepada pembentukan aktif tenaga-tenaga sosial baharu seperti organisasi masyarakat sivil dan perkumpulan kolektif yang kemudiannya menjalar dalam mengubah idea, pemikiran dan wacana dalam masyarakat. Lalu, 25 tahun lewat kemunculan Gerakan Reformasi ini, kita menyusur garis masa, mengamati masyarakat Malaysia yang telah tumbuh mekar percikan daripada gelombang reformasi dan merenungkan dilema-dilema baharu Malaysia untuk menjadi lebih baik di masa mendatang. Mad Koy, 25 tahun yang lalu, turun ke jalan raya melarut bersama gelombang Reformasi yang meledak, dan kini sebagai pemerhati politik dan budaya, beliau akan menyusur ingatan sepanjangan 25 tahun reformasi bersama kita semua.

Sep 29, 202301:21:37
Abdullah Munshi: Guru Bangsa atau Khadam Penjajah?

Abdullah Munshi: Guru Bangsa atau Khadam Penjajah?

Abdullah Munshi tidak ternafi adalah seorang sosok cendekiawan bangsa. Namun polemik seputarnya sentiasa ada. Terbaharu, Abdullah Munshi digelar sebagai khadam penjajah oleh seorang tokoh politik Malaysia. Persoalannya, apakah perspektif yang tepat untuk kita mengerti, siapakah Abdullah Munshi yang sebenarnya? Khadam penjajah atau guru bangsa? Dalam syarahan ini, Dr. Faizal Musa (Faisal Tehrani) merincikan kesosokan Abdullah Munshi dan sisi-sisi beliau daripada sorotan karyanya dan catatan-catatannya semenjak akhir abad ke-19.

Sep 26, 202301:20:07
3. Syed Husin Ali dan karya 'Tokoh-Tokoh Pejuang Rakyat'

3. Syed Husin Ali dan karya 'Tokoh-Tokoh Pejuang Rakyat'

Dalam episod ini, Azan Safar menemubual Syed Husin Ali, penyusun dan penulis buku baharu terbitan Pusat Sejarah Rakyat yang berjudul Tokoh-Tokoh Pejuang Rakyat. Menerusi buku ini, dihimpunkan 28 orang tokoh pejuang kemerdekaan Malaysia meliputi segenap dimensi masyarakat, yang kebanyakan mereka adalah di luar kerangka sosok pejuang yang arus perdana.


Aug 08, 202345:55
Ilmu Mandiri (Bah. 2); bersama Syed Farid Alatas

Ilmu Mandiri (Bah. 2); bersama Syed Farid Alatas

Ilmu Mandiri tidak tergagas untuk berhadapan satu-satunya eurosentrisme, tetapi juga melawan dan membebaskan segala bentuk orientasi kekuasaan yang memasung alam fikir masyarakat di negara jajahan. Selain teori, metodologi ilmu yang berteraskan kaedah ilmiah semata juga telah mengucilkan tradisi intelektual peribumi yang lebih luas. Pengiktirafan yang selalu ditagih dari Barat menambahkan krisis keilmuan dalam ranah ini. Ilmu Mandiri akan sentiasa berhadapan kekangan sementelah institusi dan autoriti juga tertawan mindanya. Ikuti bahagian akhir perbualan Azan Safar dan Syed Farid Alatas dalam mencerakinkan Ilmu Mandiri dalam menghadapi krisis keilmuan ini.


Jun 22, 202332:44
Ilmu Mandiri (Bah. 1); bersama Syed Farid Alatas

Ilmu Mandiri (Bah. 1); bersama Syed Farid Alatas

Eurosentrisme yang menggarisbawahi sistem pendidikan bekas negara jajahan memberikan dampak manipulatif dalam proses penghasilan ilmu di rantau ini. Eurosentrisme bukan sahaja telah 'mengetepikan' dan 'mendiamkan' gagasan keilmuan peribumi malah ia juga mengasingkan ahli cerdik pandai peribumi daripada tradisi intelektual mereka sendiri. Maka Ilmu Mandiri tampil sebagai sebuah gagasan untuk membereskan manipulasi dan membetulkan kembali lensa alam fikir kita yang kabur berkiblatkan sumber ilmu Eropah semata. Ikuti bahagian satu dalam perbualan Azan Safar bersama Syed Farid Alatas seputar hal yang mengasak ini.


Jun 22, 202327:39
Ep. 1 – Cinta dan Kegelisahan, bersama Mohd. Rosli Ibrahim | Aku dan Buku

Ep. 1 – Cinta dan Kegelisahan, bersama Mohd. Rosli Ibrahim | Aku dan Buku

"Buku adalah wasilah," ujar Abang Rosli Ibrahim, dan dia mula membibit dalam sedu, kisah si ayahnya membawa pulang buku yang dikutip dari tong sampah untuk anaknya membaca. "Apa sahaja yang kau lalui, harus ada cinta kepada pengetahuan," ujarnya lagi, dan untuk Abang Rosli, ayahnya adalah intelektual sejati. Sosok ayahnya, saban seusai menarik beca, akan memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku dan akhbar untuk anak-anaknya membaca. "Ramai orang membaca, tetapi tidak merasa gelisah," sambungnya lagi.

Oct 05, 202201:00:16
Meracik Isu E6 – Analisa & Sorotan PRN Johor – Bahagian I

Meracik Isu E6 – Analisa & Sorotan PRN Johor – Bahagian I

#PRNJohor melabuhkan tirai, dengan Barisan Nasional kembali ke tampuk kuasa pemerintahan yang membawa bersamanya lebih 2/3 bilangan kerusi DUN. Dalam siri #MeracikIsu kali ini, Koi, Azizi, dan Azan bersama-sama membuat sorotan dan menganalisa fenomena politik negara, masa depan politik Melayu, keberantakan etnik dan undi, dan persoalan-persoalan seputarnya. Analisa yang diperikan melalui sudut pandang sosiologikal menjadi landasan perbincangan dalam memberi faham bagaimana operasi politik yang berlaku di Malaysia, dan PRN Johor adalah kajian kes yang terkini untuk diperhatikan. Pemerhatian pada tingkat individu, masyarakat dan institusi memberikan penjelasan yang masuk akal akan senario politik yang kita gulati kini dan ke mana arah tuju perginya. Dalam Bahagian I, tumpuan diberikan khusus terhadap Pilihan Raya Negeri Johor, dan Bahagian II yang akan menyusul, memberi tumpuan kepada analisa dan jangkaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Mar 24, 202259:46
#MenganyamNusa: Sebuah Sorotan | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Sebuah Sorotan | Kawah Buku x Institut Nyala

Temasya #MenganyamNusa melabuh tirai dengan wawancara khas bersama Tun Dr. Mahathir pada 16 Sept. Untuk menutup, Azan Safar dan Teo Lee Ken, masing-masing mewakili Kawah Buku dan Institut Nyala—pekumpulan di belakang temasya ini, duduk bersama dan menyorot kembali keseluruhan temasya bermula dari perbincangan bersama kumpulan Orang Asli, seterusnya ingatan ratifikasi Perlembagaan Malaysia, dan tentang muzik, sastera, serta hal-hal berselirat dengan identiti kebangsaan.

Sep 30, 202151:01
#MenganyamNusa: Dari Dilema Melayu ke Bangsa Malaysia | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Dari Dilema Melayu ke Bangsa Malaysia | Kawah Buku x Institut Nyala

Sebahagian masyarakat Malaysia membenci Mahathir. Bagi mereka, Mahathir adalah punca segala yang salah dan silap pada Malaysia hari ini. Sebahagian lagi menyanjungi Mahathir. Bagi mereka, segala kemajuan infrastruktur, pembangunan dan kemodenan Malaysia pada hari ini adalah hasil buah tangan Mahathir. Sosok enigma yang tidak mudah untuk dikategorikan secara perduaan (binary). Hitam, putih, kelabu dan warna-warna lain tersulam di dalam anyaman biografi seorang Mahathir. Tapi suatu hal yang jelas ialah Mahathir adalah gergasi politik Malaysia. Legasi beliau baik yang positif, mahu pun negatif sudah terpahat kejap dalam perjalanan sejarah Malaysia. Bermula sebagai seorang nasionalis Melayu, Mahathir kemudiannya diberi amanah untuk menerajui Malaysia bukan sekali, tapi dua kali. Sepanjang tempoh Mahathir memimpin Malaysia sebanyak dua kali itu, keperluan untuk mengimbangi antara dilemma Melayu yang digeluti beliau dan Bangsa Malaysia yang dicitakan beliau adalah antara kerumitan yang tak terselesai. Justeru, wawancara khas ini akan cuba merungkai beberapa jalur anyaman yang tersulam di dalam idea yang mendasari pemikiran Mahathir, khususnya mengenai persoalan dilema Melayu, Bangsa Malaysia, identiti kebangsaan, keseimbangan ekonomi antara kaum, hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sistem nilai masyarakat, korupsi dalam politik Malaysia, serta pergulatan antara Islam dan politik. Apakah idea dan pemikiran Mahathir masih relevan atau sudah usang atau memerlukan pengubahsuaian, sama-sama kita nilai dengan kritis menerusi wawancara khas bersama beliau ini.

Wawancara bersama Tun Dr. Mahathir dikendali sepenuhnya oleh Azan Safar dan Ruhan Shahrir dari Kawah Buku, pada 18 Ogos 2021. Penghargaan turut buat Perdana Leadership Foundation dan pasukan Tun Dr. Mahathir yang telah membantu menjayakan sesi wawancara ini berlangsung.

Sep 30, 202101:07:20
#MenganyamNusa: Titik Temu Malaysia Terangkum | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Titik Temu Malaysia Terangkum | Kawah Buku x Institut Nyala

Apakah pernyataan sikap yang sepatutnya kita ambil untuk meneruskan perjuangan meletakkan nama negara di persada antarabangsa ini? Apakah kita hanyalah mahu mengucapkan "merdeka, merdeka, merdeka" beberapa banyak kali sambil mengibarkan bendera Malaysia? Sepertimana kita melakukannya  beberapa kali pada tahun-tahun sebelum ini? Sekadar mengulang sebelum-sebelum ini? Tanpa mengambil sikap menyatakan bahawa kita mesti mendapatkan maksud "merdeka" itu?  Atau cukup sekadar mendapatkan maksud perkataan "merdeka" itu, tanpa ambil pusing tentang bagaimanakah boleh diterjemahkan maksud "merdeka" itu kepada pengujaran dan perbuatannya? Perlulah kita membincangkan apakah yang dipanggil perbuatan yang menerjemahkan makna perkataan “merdeka” itu? Apakah erti merdeka pemikiran? Apakah ertinya merdeka pengucapan? Apakah ertinya merdeka perbuatan? Cukupkah sekadar itu? 

Syarahan khas oleh Dr. Alinor Kadir, pengasas Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM).  Dimudahcara oleh Azan Safar dari Kawah Buku. Syarahan ini ditayangkan secara langsung pada 11 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Sep 30, 202101:48:52
#MenganyamNusa: Cita Malaysia dan OKU | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Cita Malaysia dan OKU | Kawah Buku x Institut Nyala

Kesedaran dan kepedulian masyarakat Malaysia dalam isu dan nasib OKU masih rendah. Kejadian terbaru di mana seorang atlet paralimpik Ukraine telah dikecam dengan dasyat oleh netizen Malaysia, termasuk hantaran-hantaran berupa penghinaan dan makian yang mempermainkan fizikal dan kecacatan atlet tersebut mencerminkan betapa runcingnya tahap pemikiran serta nilai masyarakat Malaysia dalam mendepani isu-isu OKU. Justeru itu persoalannya ialah mengapakah masih wujud nilai dan pemikiran yang sebegini teruk dalam masyarakat Malaysia walaupun kita sudah 64 tahun Merdeka dan bakal pula merayakan hari Malaysia yang ke-58 tidak lama lagi? Pernah tak berapa lama dahulu telah viral sebuah video seorang pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang melakukan penghinaan terhadap OKU setelah mengambil tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU. Adakah cara faham komuniti beragama terhadap OKU bermasalah sehinggakan pemimpin dari sebuah gerakan mahasiswa Islam melakukan penghinaan sebegitu rupa?

Atau apakah pemikiran dan nilai masyarakat yang kehilangan empati serta belas ehsan itu juga adalah sebuah menifestasi daripada sikap kerajaan Malaysia sendiri yang tidak peka, tidak peduli dan malahan sering pula meminggirkan isu-isu OKU dalam pembuatan dasar-dasar negara? Atau apakah ketidakpedulian terhadap isu-isu OKU ini berakar umbi dari budaya masyarakat kita sendiri yang sering mendiamkan atau menyembunyikan sesuatu yang dianggap "cacat"? Kalau ianya telah menjadi suatu budaya, apakah ianya terhasil daripada interaksi-interaksi sosial yang berlaku antara anggota masyarakat dengan media misalnya. Bagaimana media, baik bercetak mahupun elektronik, dari surat khabar, radio, televisyen, buku dan novel hinggalah kepada media sosial menggambarkan OKU? Di mana OKU dalam naratif media-media ini? Bagaimana pula OKU sendiri memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka? Apakah kerumitan-kerumitan yang wujud dalam melakukan advokasi, berurusan dengan kerajaan dan masyarakat serta cabaran-cabaran untuk menggembeleng kesatuan sama ada dari OKU sendiri atau ibu-bapa dan keluarga OKU bagi perjuangan untuk Cita Malaysia yang lebih baik adil dan terangkum buat OKU?

Perbincangan ini membawakan 3 sosok iaitu Rosli Ibrahim (penulis), Ikmal Hisham Md Tah (Pensyarah Undang-Undang UiTM) dan Adhura Husna (BOLEH SPACE). Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 8 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Sep 30, 202102:10:02
#MenganyamNusa: Muzik, Lagu dan Identiti Kebangsaan | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Muzik, Lagu dan Identiti Kebangsaan | Kawah Buku x Institut Nyala

Muzik dan lagu tidak hanya berfungsi sebagai hiburan semata-mata. Bermula mungkin sebagai suatu persembahan buat entiti metafizik yang dianggap sebagai maha kuasa samada dalam bentuk tuhan, dewa, makhluk ghaib atau semangat yang dipercayai oleh sesuatu komuniti itu, kini menerusi proses pemodenan masyarakat, muzik dan lagu juga telah menjadi sumber peluahan ekspresi diri individu, bahan komoditi perdagangan dan perniagaan, produk pelancongan, alat kuasa lunak (soft power) serta identiti sesuatu bangsa, etnik dan suku kaum serta boleh juga berfungsi sebagai pembangkit kesedaran serta perlawanan. Muzik dan lagu juga turut digunakan oleh negara (state) sebagai suatu sarana untuk propaganda kerajaan dan  usaha-usaha negara dalam membina kesedaran kebangsaan bersama khususnya buat negara-negara yang rencam budaya. Malaysia sebagai sebuah negara yang rencam budaya tentunya tak terelak dalam usaha mentakrifkan muzik dan lagu sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang ingin ditonjolkan. Mungkin terdapat lima aras analisis yang boleh diteroka dalam konteks perbahasan tentang muzik, lagu dan identiti kebangsaan ini. Pertamanya takrif negara, keduanya takrif negeri-negeri yang ada dalam Persekutuan Malaysia, ketiganya takrif daripada masyarakat yang berbilang etnik dan suku kaum yang ada di Malaysia, keempatnya takrif pasar (market) tempatan serta antarabangsa, dan kelimanya takrif individu yang menghasilkan dan pengguna yang mengkonsumsikannya. Modeniti (modernity) dengan segala aparatus, tanda, simbol, fungsi, kehendak, situasi dan ideologi-ideologi yang mengiringinya telah menjadikan persoalan muzik, lagu dan identiti kebangsaan sesuatu yang rumit, kompleks dan mencabar untuk diuruskan.

Di satu sisi proses globalisasi dan kapitalisme pasar yang cenderung menghakis identiti tempatan termasuk muzik dan lagu. Di satu sisi yang lain terdapat kebangkitan dan perlawanan yang dilakukan oleh aktivis-aktivis budaya tempatan terhadap proses penyeragaman identiti menerusi globalisasi. Manakala di satu sisi lain pula yang masih menjadi tandingan di tingkat kebangsaan ialah kita sesama kita warga Malaysia masih bergelut dan bergulat untuk mentakrifkan identiti kebangsaan Malaysia. Walaupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah 50 tahun berlalu, persoalan identiti kebangsaan masih belum terselesai. Justeru, dalam menangani kerumitan modeniti (modernity) khususnya dalam konteks pembinaan identiti kebangsaan dan hubung-kaitnya dengan muzik serta lagu, sebuah perbincangn melibatkan tiga orang pakar dalam bidang seni dan muzik iaitu Eddin Khoo (PUSAKA), Adil Johan (KITA UKM) dan Shazlin Amir Hamzah (KITA UKM), serta dimudahcara oleh Johan Ariff (Iqbal M), untuk membahas, merungkai dan seterusnya mencerahkan kita dalam perbincangan sempena dengan Bulan Hari Kebangsaan dan Bulan Hari Malaysia yang sama-sama kita sambut pada tahun ini.

Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 3 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Sep 30, 202102:40:32
#MenganyamNusa: Ingatan Ratifikasi Perlembagaan Malaysia | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Ingatan Ratifikasi Perlembagaan Malaysia | Kawah Buku x Institut Nyala

Perlembagaan merupakan undang-undang asas dan sumber tertinggi perundangan bagi sesebuah negara moden. Perlembagaan menyediakan corak kerajaan dan perincian kepada pengagihan kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan had-had kerajaan ke atas yang ditadbir. Undang-undang asas ini yang ada dalam kebanyakan negara telah berkembang melalui proses sejarah yang panjang dan boleh dijejaki ke masa silam. Pada zaman moden perlembagaan adalah suatu penyataan perwakilan kepada keinginan kolektif rakyat. Begitu hal-nya turut berlaku dalam negara moden bernama Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak terbentuk dalam hampawa. Ada konteks dan proses sejarah yang panjang, malah mungkin boleh dijejak sedari beratus tahun dulunya. Selembar kertas perlembagaan tersebut, menjadi petunjuk asas kepada aspirasi, cara bertatih, suara paling dalam, lunak impian segenap warga yang mendiami ranah bernama Malaysia. Tanggal 27 Ogos 1957, lembaran perundangan ini berjaya diratifikasi dan "came into force". Bermula dari tarikh kemerdekaan sehingga ke hari ini, lembaran tersebut sudah mengalami beberapa pindaan—semuanya atas maksud untuk menyesuaikan pada konteks semasa, hal berbangkit, dan keadaan tertentu yang memerlukan kepada sebuah pindaan.

Menerusi siri #MenganyamNusa, bersempena tarikh ratifikasi tersebut, kita membuat ingatan kembali, menelusur jalan-jalan sejarah sehingga lembaran perundangan ini diratifikasi bersama DUA orang peguam, iaitu GK Ganesan (GKtv) dan Azira Aziz (Messrs Azira Aziz), menyelongkar sisi-sisi yang mungkin jarang kedengaran. Perbincangan ini penting, sekurangnya itu yang kami fikir, kepada usaha pembinaan identiti Bangsa Malaysia.

Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 27 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Sep 29, 202101:30:36
#MenganyamNusa: Orang Asli dalam Naratif Kemerdekaan | Kawah Buku x Institut Nyala

#MenganyamNusa: Orang Asli dalam Naratif Kemerdekaan | Kawah Buku x Institut Nyala

Catatan sejarah merekodkan Orang Asli mempunyai kedudukan penting dalam unit politi keRAJAan Melayu sebelum kolonial menjarah Tanah Melayu. Peranan penting yang dimainkan dalam membekalkan sumber alam kepada orang Melayu untuk didagang menjadikan orang darat dan orang laut menjalin kerjasama yang istimewa bersama pembesar keRAJAan pada ketika itu. Pada suatu ketika juga, Orang Asli mempunyai kedudukan yang tinggi dalam struktur kepimpimpinan masyarakat, seumpama Biduanda Waris di Negeri Sembilan. Namun menjengah 60 tahun tahun selepas merdeka, naratif ini telah lenyap sama sekali. Naratif gantinya adalah penindasan dan perlawanan dengan tangan yang diikat dalam mempertahankan hak, identiti dan warisan Orang Asli. Justeru persoalan yang besar, dalam pada Malaysia mengecapi sebuah kemerdekaan—dan segala nikmat sentosanya, di manakah Orang Asli di balik sela-sela perjalanan panjang naratif pembebasan ini?

Perbincangan ini, membuka tirai #MenganyamNusa, membawakan dua orang narasumber dari Suku Semai iaitu Dayoung Shaniera Seliman dan  Mahat Akiya, yang sudah acap kali menimbulkan soal yang sama. Hari ini kita belum ketemu sebarang jawapan, atau mungkin sudah ada, tetapi sisi-sisi lain pula tidak membantu untuk mengubah kembali naratif pembebasan ini. Kami mengajak pendengar turut serta dalam perbincangan ini, bertanyakan soalan, melemparkan pandangan, dengan harapan sebuah kesedaran boleh dirungkai dan dijadikan suatu loncatan untuk perubahan boleh berlaku.

Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 22 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Sep 29, 202102:12:13
Ep29 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian IV | Menjadi Malaysia

Ep29 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian IV | Menjadi Malaysia

Siri #MenjadiMalaysia memasuki bahagian terakhir bersama Dr. Alinor dalam membincangkan kerajaan Champa, dengan perbincangan dimulakan pada topik mengapa kajian mengenai Champa mengundang risiko dari sudut politik antarabangsa. Hal ini dijelaskan oleh Dr. Alinor, akan sejarah gerakan pemberontakan dan kemerdekaan Champa dari negara Vietnam. Perkara ini telah mengundang kesukaran buat para pengkaji khususnya, apabila kajian-kajian mengenai Champa tidak mudah dilakukan dalam negara Vietnam, atas faktor pemantauan pihak berkuasa di sana. Perbincangan turut menyentuh persoalan penting mengenai hubungan antara kerajaan Champa dan kerajaan-kerajaan lama di Semenanjung Tanah Melayu. Dr. Alinor juga berkongsikan beberapa teori penting yang perlu para pengkaji Champa kuasai untuk mengkaji dan memahami wacana pensejarahan Champa secara mendalam.

May 21, 202140:01
Ep28 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian III | Menjadi Malaysia

Ep28 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian III | Menjadi Malaysia

Perbincangan siri #MenjadiMalaysia bersambung lagi, masih bersama dengan tetamu istimewa — Dr. Alinor — untuk memperincikan perbincangan tentang Champa. Mad Koy memulakan perbincangan dengan mempertanyakan darihal perkembangan terkini kajian dan penyelidikan Champa. Dr, Alinor mencerakinkan kepada dua hal iaitu apa yang kita tahu, dan apa yang kita boleh berbuat mengenainya. Memetik nama seorang penyelidik Champa, Arlo Griffiths yang menyebut bahawa terdapat 50 penemuan prasasti yang baharu, semenjak Cordes sehingga tahun 2000. Hal ini sahaja menunjukkan suatu keperluan kepada usaha transliterasi manuskrip dilakukan. Demikian juga, Dr. Alinor berkongsikan usaha yang dilakukan oleh Prof. Shaharir Mohd Zain dalam penyelidikan Champa dengan menganalisis data-data saintifik yang wujud di dalam teks prasasti. Perbincangan turut menyentuh teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara dan beberapa kritik sekitarnya.

May 07, 202135:29
Ep27 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian II | Menjadi Malaysia

Ep27 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian II | Menjadi Malaysia

Menyambung perbincangan dari minggu lepas dan siri #MenjadiMalaysia, Dr. Alinor bermula dengan perbincangan mengenai asal usul nama Champa berdasarkan kajian-kajian yang pernah dibuat oleh para pengkaji Champa, antaranya kerajaan tersebut bermula dengan nama Champa-Desa, dan Champa-Pura—nama-nama yang diberikan sendiri oleh orang Cam. Dr. Alinor turut menghuraikan teori nama Champa yang berasal dari sebuah kota di India, dengan membentangkan sejarah Universiti Nalanda, sebuah pusat pengajian terbesar bagi agama Buddha di mana terdapatnya sebuah asram (kolej) yang diberi nama Asram Srivijaya. Dr. Alinor turut menerangkan kaedah pemetaan (mapping) dalam pengkajian sejarah dengan membawa contoh bagaimana dakwaan bahawa bertapaknya Islam di Champa boleh dibuktikan.

Apr 30, 202133:12
Ep26 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian I | Menjadi Malaysia

Ep26 - Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian I | Menjadi Malaysia

Dalam episod minggu ini dan beberapa episod kehadapan, #MenjadiMalaysia mengundang tetamu khas iaitu Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir untuk membicarakan wacana Champa secara lebih mendalam dan memberi ulasan kepada sumber kajian Champa yang bersifat primer. Digandingkan dengan Mad Koy, Dr. Alinor memberi keterangan dari segi latar belakang penglibatannya dalam kajian Champa, bermula dengan suatu tugasan yang diberikan oleh Prof. Shaharir Mohamad Zain ketika Dr. Alinor sedang melengkapkan pengajian di United Kingdom. Kemudian, kajiannya semakin mendalam sehingga ke hari ini, Dr. Alinor sedang mengusahakan kajian prasasti Champa, Funan, Chenla, Srivijaya, dan beberapa lagi kerajaan lama di Asia Tenggara.

Apr 24, 202119:43
E11 - Mengingati Rustam Sani: Pergulatan Seorang Nasionalis Malaysia | Melawan Lupa

E11 - Mengingati Rustam Sani: Pergulatan Seorang Nasionalis Malaysia | Melawan Lupa

Seorang sarjana, intelektual awam dan pemikir politik yang berada dalam kelasnya tersendiri, Rustam A. Sani telah pergi meninggalkan kita pada hari ini, 13 tahun yang lalu. Pemergiannya pada usia yang boleh dikira muda, mengejutkan ramai orang terutamanya mereka yang rapat mengikuti wacana sains sosial di Malaysia. Dari buah fikirnya, terhasil rencana, makalah serta buku yang membincangkan persoalan penting buat masyarakat Malaysia amnya dan orang Melayu khususnya. Polemik "Melayu Baru" suatu ketika dulu telah diracik dengan lebih halus oleh Rustam dalam penulisan beliau untuk memberikannya suatu nafas yang lebih segar dalam konteks Malaysia yang majmuk. Dari ketajaman fikiran Rustam juga telah lahir idea 'bangsa idaman' menerusi konsep Bangsa Malaysia yang menjadi teras kepada Wawasan 2020. Beberapa gagasan penting lain seputar persoalan nasional turut dinukilkan oleh Rustam dalam teks-teks beliau dan beliau jugalah sosok yang gencar menganjurkan suatu takrif baharu nasionalisme Malaysia yang dikembang dari nasionalisme Melayu. Dalam peringatan ini, Prof Jomo Kwame Sundaram dan anak perempuan Rustam, Puan Ariani telah berkongsikan sisi-sisi Rustam yang jarang diperlihatkan kepada khalayak, dan anekdot kehidupan seorang sarjana besar yang pernah menabur daya fikir dan usaha tenaga yang luhur untuk sebuah cita-cita melahirkan bangsa idaman bernama Bangsa Malaysia.

Apr 23, 202102:04:42
E10 - Remembering James Puthucheary: A Conversation with Sharaad Kuttan | Melawan Lupa

E10 - Remembering James Puthucheary: A Conversation with Sharaad Kuttan | Melawan Lupa

During his formative years at the University of Malaya (Singapore), James believed that "if the University is to play its important role in the development of the country it must become the advocate and guardian of the concept of the Malayan Nation and work for the achievement of this idea". But before university his youthful adventures took him into the Indian National Army—he fought at the Battle of Imphal—then to Rabindranath  Tagore’s University at Shantiniketan, also serving as an ambulance driver during India's brutal Partition. Returning to Malaya in the late 40s James' entered University and was catapulted into the politics of pre-Independence Singapore, with three stints under detention. In that decade and a half James' made important contributions to economic analysis and governance, but retired from active politics after being expelled from Singapore. His nephew, Sharaad Kuttan presents a brief sketch of these events from the police arrest during his university years, his detention under the ISA, to the formation of Malaysia, to the ideation of NEP and his retreat from active politics and the pursuit of his legal career. Today, on the day he passed away, we remember his contributions to the nation-state we inherited today, called Malaysia.

Apr 23, 202101:21:52
Ep25 - Sebelum Melaka: Mengapa Champa? | Menjadi Malaysia

Ep25 - Sebelum Melaka: Mengapa Champa? | Menjadi Malaysia

Siri #MenjadiMalaysia dalam episod minggu ini merungkai persoalan hubungkait antara Champa dan kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya Melaka menerusi catatan dalam teks Sulalatus Salatin dan juga kerajaan di Kelantan yang menghantar bantuan ketenteraan kepada Champa sewaktu perang melawan Viet. Mad Koy mengajukan bahawa unsur agama memainkan peranan penting dalam membentuk kesatuan dan hubungan antara kerajaan Champa dan kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Huraian turut menyentuh mengapa perbincangan mengenai Champa adalah penting dalam memberi kefahaman kepada pendengar tentang persoalan kemenjadian Malaysia, pada hari ini.

Apr 16, 202126:16
Ep24 - Sebelum Melaka: Pemberontakan di Zaman Akhir Champa | Menjadi Malaysia

Ep24 - Sebelum Melaka: Pemberontakan di Zaman Akhir Champa | Menjadi Malaysia

Perbincangan dalam episod seterusnya siri #MenjadiMalaysia berkalih ke zaman-zaman akhir kerajaan purba Champa. Kosmologi dan pengaruh India turut mula terlerai sedikit demi sedikit dari kerajaan Champa, dan yang tersisa hanyalah pengamalan budayanya. Pada babad ini, telah berlakunya siri pemberontakan yang dianggap sebagai peristiwa penting untuk menuruti hubungan serantau Champa dan kerajaan-kerajaan lama di Semenanjung Tanah Melayu. Antara yang dihurai oleh Mad Koy adalah pemberontakan diketuai oleh Katip Sumat yang berasal dari Kelantan, memimpin tentera Champa bagi menentang kerajaan Viet.

Apr 09, 202132:56
Ep23 - Sebelum Melaka: Titik Penting Champa dalam Era Indianisasi | Menjadi Malaysia

Ep23 - Sebelum Melaka: Titik Penting Champa dalam Era Indianisasi | Menjadi Malaysia

Sepanjang Champa melalui proses Indianisasi, telah tercatatnya beberapa titik penting yang pada pandangan Mad Koy, wajar diketengahkan dalam usaha menuruti sejarah kerajaan purba tersebut. Demikianlah, dalam episod siri #MenjadiMalaysia kali ini dibentangkan. Dalam kurun ke-10, berlakunya beberapa siri pertembungan antara kerajaan Champa dan kerajaan Viet. Menurut Mad Koy, peristiwa-peristiwa ini telah menunjukkan sisi wewenang dalam kalangan pemerintah dan raja kerajaan Champa apabila mereka menyerahkan wilayah kekuasaannya kepada pihak yang menang dalam konflik, atau juga mengaturkan perkahwinan antara keluarga diraja. Chế Bồng Nga, antara pemerintah Champa yang dikatakan hampir-hampir mengalahkan kerajaan Viet dan menduduki kota Viet. Perlu diingatkan bahawa, kerajaan Champa tidak bersifat homogen (homogeneous) tetapi lebih kepada bercirikan mandala iaitu pusat kekuasaan terletak pada kerajaan-kerajaan kecil yang membentuk suatu kuasa besar bernama Champa. Malah turut tercatat berlakunya siri pemberontakan sesama kerajaan-kerajaan dalam Champa itu sendiri.

Apr 02, 202129:15
Ep22 - Sebelum Melaka: Indianisasi Champa | Menjadi Malaysia

Ep22 - Sebelum Melaka: Indianisasi Champa | Menjadi Malaysia

Champa melalui tiga era utama, iaitu era sebelum proses indianisasi, sewaktu indianisasi, dan selepas indianisasi. Berikut adalah rangkuman yang cuba disampaikan oleh Mad Koy menerusi episod ini dalam siri #MenjadiMalaysia. Sejarah Champa ditandai dengan siri peperangan dengan kerajaan dalam dinasti Viet dan kerajaan Khmer, dengan Champa berada di tengah antara kedua-dua kerajaan tersebut. Ditambah lagi dengan faktor kedudukan geografinya, pada akhirnya kerajaan purba ini lenyap.

Mar 26, 202124:50
Ep21 - Sebelum Melaka: Bentuk dan Rupa Champa | Menjadi Malaysia

Ep21 - Sebelum Melaka: Bentuk dan Rupa Champa | Menjadi Malaysia

Siri #MenjadiMalaysia masih dalam perbincangan mengenai Champa, dengan pemfokusan diberi kepada bentuk-bentuk dan rupa kerajaan purba Champa dari segi sosial, ekonomi, dan politiknya. Mad Koy menghuraikan perihal bentuk geografi Champa yang berlatarkan Banjaran Annam (Annamite Range), yang berjajar dari Quảng Bình sehingga ke Phan Rang—dan keterkaitannya dengan faktor lenyapnya kerajaan Champa pada era terkemudian. Perbincangan turut menyentuh perihal bentuk agama, dalam kerajaan Champa yang bersifat sinkritik (syncretic) hasil pertembungan antara amalan-amalan Hindu, Buddha, dan animisme. Dalam konteks ekonomi pula, Champa masih dalam kerangka ekonomi feudal di mana wujudnya dua kelas ekonomi—kelas istana dan kelas rakyat bawahan.

Mar 19, 202131:53
Ep20 - Sebelum Melaka: Champa dalam Catatan Cina dan Viet | Menjadi Malaysia

Ep20 - Sebelum Melaka: Champa dalam Catatan Cina dan Viet | Menjadi Malaysia

Mad Koy menyambung perbincangan dalam siri #MenjadiMalaysia dengan menelusuri Champa dari urutan catatan Cina dan Viet, serta merungkai permasalahan-permasalahan pensejarahannya dari sumber sejarah tersebut. Antara masalah yang diajukan oleh Mad Koy dalam terkait dengan permasalahan ketepatan catatan Cina dan Viet terutamanya perihal nama pemerintah/raja yang wujud dalam catatan tersebut yang saling bercanggah dengan catatan dalam prasasti. Kemungkinan paling besar adalah faktor bahasa dan lenggok sebutan nama yang menyebabkan permasalah ini wujud. Begitu juga halnya dengan nama tempat yang banyak bercanggah antara catatan bertulis dan catatan dalam prasasti. Mad Koy turut menyebut keadaaan catatan Cina dan Viet yang tidak menyeluruh serta tidak memberi gambaran sebenar sesuatu kejadian atau sejarah kerajaan Champa, disebabkan catatan yang ditulis bersifat 'selective' dalam seputar hal-hal yang memberi kesan langsung kepada kerajaan Cina dan Viet sahaja. Selain itu, turut disebut dalam permasalahan mengenai tempoh sesuatu catatan tersebut ditulis yang mengambil senggang masa sehingga ratusan tahun, yang mana peristiwa yang berlaku pada abad ke-11 hanya dicatat secara sistematik dan bersifat ensiklopedia dalam abad ke-19. Hal yang demikian menyebabkan Michael Vickery menyebut bahawa seseorang pengkaji "required a religious faith" untuk menerima dan yakin bahawa sesuatu catatan itu benar. Beliau memberi saranan supaya pengkaji-pengkaji Champa lebih berhati-hati dalam mengutip maklumat yang diperolehi daripada catatan-catatan tersebut kerana ketidaktekalan yang terkandung di dalamnya dan untuk membuat rumusan yang lebih baik maka perbandingan dengan catatan-catatan bertulis dari sumber lain, prasasti, binaan dan tinggalan lama serta artifak-artifak arkeologi boleh digunakan secara bersama-sama untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat.

Mar 12, 202131:44
Ep19 - Sebelum Melaka: Sumber Pensejarahan Champa | Menjadi Malaysia

Ep19 - Sebelum Melaka: Sumber Pensejarahan Champa | Menjadi Malaysia

Masih dalam perbincangan mengenai Champa dalam siri #MenjadiMalaysia, Mad Koy menghuraikan Champa dari sumber binaan/monumen dan artefak arkeologi, dan juga prasasti. Dalam sumber binaan dan artefak arkeologi, ahli sejarah mempercayai bahawa telah berlakunya bertembungan antara kerajaan Champa, kerajaan Viet dan kerajaan Khmer, dan yang akhirnya menyebabkan Champa lenyap langsung—melainkan catatan mengenainya yang tersimpan dalam bentuk tinggalan binaan dan monumen, artefak arkeologi, serta prasasti. Kota-kota dalam Vietnam moden seperti Đà Nẵng, Bình Định, Nha Trang, dan Phan Rang sudah wujud dalam era kerajaan Champa, dengan nama-nama lama yang menggunakan bahasa Sanskrit. Pertembungan ini juga, menurut Mad Koy, boleh jadi adalah pertembungan dua peradaban yang besar iaitu China dan India.

Mar 05, 202129:15
Ep18 - Sebelum Melaka: Champa dalam Teks Klasik Melayu | Menjadi Malaysia

Ep18 - Sebelum Melaka: Champa dalam Teks Klasik Melayu | Menjadi Malaysia

Dari Chenla yang dibincangkan secara ringkas, siri #MenjadiMalaysia bergerak ke Champa. Kerajaan purba ini menawarkan ruang wacana dan perbahasan yang lebih besar dan Mad Koy memilih pada episod kali ini untuk membentangkan rakaman tentang Champa yang terdapat dalam teks-teks klasik Melayu seperti Hikayat Aceh, Hikayat Banjar, Hikayat Hassanudin, Syair Sultan Nur Peri, dan Sulalat u's-Salatin. Menerusi karya Sulalat u's-Salatin, terdapat 30 istilah Champa tercatat di dalamnya. Dalam perbincangan kali ini, Mad Koy membawakan tiga versi teks Sulalat u's-Salatin yang diselenggara oleh tiga penyelenggara berbeza iaitu A. Samad Ahmad, Muhammad Haji Salleh, dan W. G. Shellabear.

Feb 26, 202127:47
Ep17 - Sebelum Melaka: Dari Funan ke Chenla | Menjadi Malaysia

Ep17 - Sebelum Melaka: Dari Funan ke Chenla | Menjadi Malaysia

Selepas Funan, siri #MenjadiMalaysia bergerak ke perbincangan mengenai Chenla—sebuah kerajaan purba yang turut muncul dalam catatan China, dan diteorikan sebagai sebuah kerajaan penyambung kepada Funan. Malah menurut Mad Koy, ada juga penemuan baharu dari pengkaji iaitu Michael Vickery yang menunjukkan bahawa Funan dan Chenla sebenarnya wujud pada era yang sama dan saling terkait antara satu sama lain, terutamanya dari segi keturunan pemerintah kedua-dua kerajaan purba tersebut.

Feb 19, 202121:34
Ep16 - Sebelum Melaka: Menelusuri Selirat Pensejarahan Funan | Menjadi Malaysia

Ep16 - Sebelum Melaka: Menelusuri Selirat Pensejarahan Funan | Menjadi Malaysia

Persoalan asas yang cuba dirungkai menerusi perbincangan minggu ini dalam siri #MenjadiMalaysia adalah siapakah Funan dan bagaimana sejarawan menanggapinya. Menurut Mad Koy, dalam menjawab persoalan ini dan teori-teori kemenjadian Funan oleh para sejarawan, menimbangkan perbincangan dari sejarah idea juga menjadi hal yang mustahak kerana ianya mampu memberi sisi pandangan yang lebih objektif, dan menyeluruh, serta meraikan konteks Funan yang sudah berusia ratusan/ribuan tahun lampau. Dalam jalur sejarah idea, meneropong Funan dari kanta zaman sekarang iaitu perbincangan mengenai konsep ras atau etnik Funan, sebagai contoh, mungkin menjadi soalan yang tidak tepat untuk dipertanyakan. Mad Koy menekankan peri pentingnya melihat Funan dari sudut konteks masa dan perkembangan jalur sejarah idea, selain dari bergantung kepada sejarah konvensional semata-mata.

Feb 12, 202119:47
Ep15 - Sebelum Melaka: Asal-usul Funan dan Kemenjadiannya | Menjadi Malaysia

Ep15 - Sebelum Melaka: Asal-usul Funan dan Kemenjadiannya | Menjadi Malaysia

Ketiadaan teks asal Funan,menyebabkan perbincangan-perbincangan mengenai peradaban Funan menjadi sukar dan belum lengkap. Antara pelopor awal wacana ini adalah sarjana-sarjana dari Perancis, yang mula mengangkat Funan sementelah penemuan Angkor Wat. Dalam episod 15 siri #MenjadiMalaysia, Mad Koy menerokai jalur perbincangan yang wujud dalam wacana peradaban Funan, dengan premis bahawa Angkor Wat tidak wujud dalam hampawa tetapi telah wujudnya sebuah peradaban yang bersinambungan sebelum itu lagi. Jadi persoalannya. bagaimana kewujudan Funan boleh dibuktikan? Menurut Mad Koy, rekod yang wujud adalah catatan-catatan dari China yang bersifat cerita mulut (folklore) tentang kewujudan sebuah tanah sakti yang dikuasai oleh seorang raja bernama Hùntián.

Feb 05, 202119:34
Ep14 - Sebelum Melaka: Indologi dan Kerajaan Pemula | Menjadi Malaysia

Ep14 - Sebelum Melaka: Indologi dan Kerajaan Pemula | Menjadi Malaysia

Episod 14 dalam siri #MenjadiMalaysia menyambung perbincangan tempoh masa sebelum Melaka, iaitu teori terbentuknya kerajaan pemula yakni Funan yang terhasil dari proses Indianisasi kerajaan tempatan.

Jan 29, 202120:11
Ep13 - Historiografi: Perkembangan Wacana Historiografi | Menjadi Malaysia

Ep13 - Historiografi: Perkembangan Wacana Historiografi | Menjadi Malaysia

Dalam episod terakhir untuk perbahasan mengenai historiografi dalam siri #MenjadiMalaysia, Mad Koy melanjutkan perbincangan kepada perkembangan wacana historiografi termasuk cabang-cabang pengajian yang muncul dari sub-bidang ini. Episod ini turut menelusuri percanggahan manuskrip Sulalatus Salatin dari dua penyelenggara yang berbeza.

Jan 22, 202122:32
Ep12 - Historiografi: Mengungkapkan Kebenaran | Menjadi Malaysia

Ep12 - Historiografi: Mengungkapkan Kebenaran | Menjadi Malaysia

Bersambung dari Episod 11 siri #MenjadiMalaysia​, Mad Koy menghuraikan dengan lebih lanjut darihal 'kebenaran', yang mana menjadi salah satu objektif utama dalam kajian pensejarahan (historiografi). Wacana 'kebenaran' telah memunculkan kelompok dan cabang falsafahnya yang tersendiri iaitu empiricism, suatu cabang falsafah yang condong kepada kepercayaan bahawa 'kebenaran' hanya boleh diungkap dan dibuktikan menerusi bukti-bukti yang bersifat empirikal. Dari wacana ini, telah lahirnya kritik-kritik, antaranya dari kumpulan sekolah pemikiran Marxist yang mengajukan bahawa 'kebenaran' tidak terhad dalam bukti empirikal. Dari kritik-kritik kumpulan Marxist, telah muncul pula beberapa cabang-cabang sejarah yang cuba untuk mengetengahkan kelompongan dalam metodologi dari wacana-wacana yang sebelumnya, antaranya subaltern history.

Jan 16, 202121:20
Ep11 - Historiografi: Suatu Pengenalan | Menjadi Malaysia

Ep11 - Historiografi: Suatu Pengenalan | Menjadi Malaysia

Membuka lembaran 2021 #MenjadiMalaysia, Mad Koy mengajak pendengar kepada suatu pengenalan untuk historiografi (historiography) atau pensejarahan—suatu sub-bidang dalam disiplin sejarah yang menumpukan kajian sejarah kepada sejarah. Dalam takrifan yang lebih khusus historiografi ialah suatu disiplin ilmu yang menumpukan penyelidikan (analisis dan juga kritik) terhadap penulisan-penulisan sejarah dan juga kajian ke atas sejarah yang telah ditulis. Dengan kata lain setiap penulisan sejarah itu ada sejarah disebaliknya. Dan inilah yang menjadi fokus dalam kajian historiografi atau pensejarahan. Justeru, untuk memahami sejarah Malaysia dengan lebih halus dan canggih (sophisticated), maka sedikit sebanyak pengetahuan berkaitan dengan ilmu historiografi atau pensejarahan adalah diperlukan. Mad Koy mengutip sebuah karya sejarawan Malaysia, Cheah Boon Kheng, berjudul "To’ Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan", sebagai suatu contoh kepada sebuah kajian historiografi yang membolehkan pembaca melihat bagaimana sesebuah sejarah itu ditulis, ditanggapi dan ditafsirkan oleh pelbagai kumpulan orang dan bagaimana tafsiran terhadap suatu peristiwa itu boleh bertukar apabila konteks sosial, budaya, politik dan pemikiran berubah.

Jan 08, 202122:01
Ep10 - Edisi Tahun Baru 2021 | Menjadi Malaysia

Ep10 - Edisi Tahun Baru 2021 | Menjadi Malaysia

Selamat Tahun Baru 2021 buat semua pendengar setia siri #MenjadiMalaysia. Episod kali ini, dibawa khas sebagai sebuah penghargaan buat para pendengar—dari Mad Koy dan Azan Safar, mereka membacakan komentar-komentar dan kritikan yang diperoleh dari pendengar bermula dari EP1 sehingga episod terakhir yang menutup tirai 2020 pada minggu lepas. Terima kasih tak terhingga, buat semua teman-teman pendengar.

Jan 01, 202130:48
E6 - Mengingati A. Rahim Kajai: Bersama Tan Sri Johan Jaaffar dan Ku Seman Ku Hussain | Melawan Lupa
Dec 30, 202001:01:32
Ep9 - Sebelum Melaka: Entrepôt, Orang Asli, dan KeRAJAan | Menjadi Malaysia

Ep9 - Sebelum Melaka: Entrepôt, Orang Asli, dan KeRAJAan | Menjadi Malaysia

Melanjutkan pemerian mengenai faktor material, iaitu perdagangan dalam pembentukan keRAJAan-keRAJAan sebelum Melaka, Mad Koy mengajukan prinsip asas ekonomi iaitu permintaan dan penawaran yang wujud melahirkan perdagangan antara komuniti manusia di wilayah-wilayah penempatan yang berbeza. Mad Koy turut menghuraikan faktor lanskap geografi, cuaca, iklim, pergerakan angin, dan sistem ekologi serta sumber alam yang kaya yang terdapat di sekitar kepulauan Asia Tenggara ditambah pula dengan dasar pemerintahan yang mesra perniagaan dan terbuka kepada kehadiran orang asing telah membantu mengembangkan perdagangan dan melahirkan kota-kota pelabuhan entrepot yang sohor. Tidak ketinggalan (tetapi jarang diangkat oleh sejarah arus perdana Malaysia) adalah sumbangan besar daripada komuniti yang sekarang ini dikenali sebagai Orang Asli (termasuk orang laut) yang telah membantu perkembangan keRAJAan-keRAJAan silam di Malaysia suatu waktu dahulu.

Dec 25, 202026:47
E5 - Mengingati 46 Tahun Demonstrasi Baling 1974 bersama Hishamuddin Rais | Melawan Lupa

E5 - Mengingati 46 Tahun Demonstrasi Baling 1974 bersama Hishamuddin Rais | Melawan Lupa

46 tahun berlalu, sebuah peristiwa yang begitu signifikan dalam lipatan sejarah negara. Kali ini kita membabadkan semula kisah sebuah kebangkitan gerakan mahasiswa, melawat kembali renta-renta sejarah, menyisir puing-puing yang bersisa, bersama Hishamuddin Rais—salah seorang sosok yang hidup dan berada pada kemuncak peristiwa tersebut. Ini rakaman sejarah, yang wajar diketengahkan, untuk tatapan generasi mendatang.

Dec 20, 202048:13
Ep8 - Sebelum Melaka: Idea dan Material Membentuk KeRAJAan | Menjadi Malaysia

Ep8 - Sebelum Melaka: Idea dan Material Membentuk KeRAJAan | Menjadi Malaysia

Apakah faktor tempatan yang menyebabkan tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Melaka—atau KeRAJAan, merupakan persoalan yang cuba dirungkai menerusi perbincangan dalam Episod 8. Seperti kebiasaan, berkesinambungan dari Episod 7, Mad Koy memulakan penghuraian konsep "mandala" yang membawa maksud bulatan—sebuah konsep yang meletakkan Raja sebagai pusat kuasa. Jangkauan kuasa oleh seseorang Raja telah menentukan sejauh mana kerajaannya berkuasa. Kuasa hanya berakhirnya apabila sesuatu kawasan tersebut hilang penguatkuasaan seseorang Raja, yang berbeza dengan konsep garis sempadan/wilayah dalam konteks dunia moden. Dalam perkembangan sesuatu politi, terdapat dua faktor utama iaitu idea dan material. Pergeseran idea telah diterangkan oleh Mad Koy dalam episod yang lepas dan bersambung kali ini, adalah faktor material iaitu perdagangan (trade & commerce) yang menjadi kondisi penting kepada terbentuknya KeRAJAan.

Dec 18, 202013:22
Ep7 - Sebelum Melaka: Raja Mandala | Menjadi Malaysia

Ep7 - Sebelum Melaka: Raja Mandala | Menjadi Malaysia

Bersambung dari perbincangan dalam Episod 6, Mad Koy menghuraikan 'Raja' dalam bentuk sebuah konsep, yang bukan sekadar suatu sosok individu atau orang, tetapi merupakan sebuah idea yang terbina dari pertembungan dengan peradaban luar terutamanya idea-idea dari wilayah yang sekarang dikenali sebagai India. Pertembungan dan kemasukan idea luar ini bukanlah berbentuk sehala semata-mata tetapi turut diolah dan dibina oleh kepimpinan tempatan untuk melahirkan konsep politik dan kuasa yang bersesuaian dengan lanskap budaya setempat. Mad Koy turut menghuraikan konsep 'mandala' sebagai suatu bentuk politi atau sistem pemerintahan keRAJAan-keRAJAan sebelum kedatangan Eropah ke rantau Asia Tenggara ini yang terpusat kepada raja-raja sebagai sumber kuasa dan kekuasaan.

Dec 11, 202013:57
Ep6 - Sebelum Melaka: Menjadi Raja | Menjadi Malaysia

Ep6 - Sebelum Melaka: Menjadi Raja | Menjadi Malaysia

Bagaimana seorang raja menjadi RAJA, itu adalah persoalan yang cuba dirungkai menerusi perbincangan Mad Koy dan Azan sepanjang episod ini. Mad Koy mengutarakan beberapa andaian berdasarkan teori kepimpinan yang diajukan oleh Max Weber dan juga, pertembungan idea pembentukan sistem berkerajaan tempatan dengan idea-idea luar seperti peradaban India. Andaian ini bertitik tolak dari istilah 'raja' yang berasal dari bahasa Sanskrit, menunjukkan bahawa konsep raja adalah sebuah konsep pinjaman dari peradaban India yang telah disesuaikan dengan budaya tempatan.

Dec 04, 202013:48
2. Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia | Ulas Buku

2. Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia | Ulas Buku

Bersama Hazman Baharom, penterjemah karya Tamir Moustafa yang berjudul 'Constituting Religion: Islam, Liberal Rights, and the Malaysian State' ke dalam Bahasa Melayu, dengan judul alih bahasanya 'Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia', menghuraikan isi perbincangan karya tersebut, serta selitan pengalaman beliau sepanjang menyiapkan terjemahan sebuah karya perundangan di Malaysia.

Dec 03, 202027:02
Ep5 - Sebelum Melaka: Tradisi Lisan, Monumen, dan Keharmonian Sejarah | Menjadi Malaysia

Ep5 - Sebelum Melaka: Tradisi Lisan, Monumen, dan Keharmonian Sejarah | Menjadi Malaysia

Bersambung dari Episod 4 yang masih belum selesai perbincangannya, Mad Koy mengulas perihal tradisi dokumentasi yang berbentuk lisan (penceritaan mulut), berbanding tradisi dokumentasi berbentuk tulisan/teks dalam masyarakat sebelum Melaka. Kekurangan tradisi pendokumentasian dalam bentuk tulisan di zaman sebelum Melaka ditambah pula dengan hampir tiadanya monumen binaan sejarah dalam skala besar yang signifikan di wilayah Semenanjung dan Sabah serta Sarawak menyebabkan permasalahan pensejarahan menjadi semakin rumit untuk dirungkai dan dibuat tafsiran secara tepat. Justeru bagaimanakah proses mengharmonikan pensejarahan Malaysia, dalam konteks dan keadaan di mana data dan maklumat masa lampau yang tidak mencukupi? Mad Koy mengajukan keperluan untuk menggabungkan pelbagai jurusan ilmu (multi-disiplin) buat menghasilkan tafsiran sejarah lampau yang lebih menyeluruh, munasabah, dan tepat.

Nov 27, 202013:49
Ep4 - Sebelum Melaka: Pensejarahan yang Tak Terselesai | Menjadi Malaysia

Ep4 - Sebelum Melaka: Pensejarahan yang Tak Terselesai | Menjadi Malaysia

Dalam episod kali ini, Azan mengajukan persoalan kepada Mad Koy perihal permasalahan dalam pensejarahan Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Kekurangan data dan rekod bertulis menjadi faktor utama kepada kesukaran untuk mendapatkan gambaran yang paling tepat mengenai sesuatu era sebelum Melaka. Mad Koy turut menyebut perihal Malaysia yang tidak mempunyai monumen tinggalan sejarah yang signifikan untuk diangkat, sebagaimana Angkor Wat di Cambodia dan Borobudur di Indonesia.
Nov 20, 202013:34